Kenangan · My Family · Tazkirah

Ampunkan

Menjadi kelkatu hinggap di muka buku hampir setiap minit boleh bawa bahana besar pada diri. Ya Allah..kebosanankah? terlalu tidak ada kerjakah? atau inikah yang dikatakan addicted? mengisi minit-minit yang berlalu dengan menjadi kelkatu itu sangat mendukacitakan.Lebih parah kerana tiada hala tujuan; sekadar suka-suka T_______T

Namun, hikmahnya tidak ketinggalan dengan input-input baru dari kenalan dan sahabat yang selalu mengirim perkongsian. Benar orang kata. .Cari kawan-kawan yang baik, wujud bi’ah yang baik. Muka buku juga jika banyak sahabat-sahabat baik yang berkongsi post berbentuk perkongsian, bukankah membawa baik untuk diri?

Saya mula membaca penuh satu entry daripada blog ummu husna (telah saya link-kan di blog saya), serta membaca  secara rambang entry-entry yang lain. Kebanyakannya berkisar cerita dan pengalaman sebagai seorang ibu.  Menguruskan anak-anak, melihat mereka membesar depan mata, memandu dan mengasihi mereka. Seronok saya membaca bukan sahaja untuk panduan diri, sesekali mengingatkan saya akan bonda sendiri di tanah air. Bonda saya juga begitu. Dia pengasih dan penuh kasih sayang. Bila teringatkan kisah dari kecil sampailah semakin jauh merantau, lalu jauh pula dari dia, selalu saya bergenang.

Saya bersekolah rendah yang sama dengan Along dan Ida. Zaman itu masih belum lahir adik bongsu kami. Sekolah kami terletak jauh. Mak ambil lesen kereta semata-mata untuk hantar dan ambil kami bertiga dari sekolah setiap hari. Pernah sekali purse yang mak letak di dashboard dicuri orang, sementara mak nak keluarkan beg-beg sekolah kami dari bonet kereta. Sedih waktu itu. Purse ditemui semula selepas buat laporan polis. Tapi duit dan dokumen-dokumen penting habis disapu pencuri. Itulah kenangan yang paling saya ingat. Kasihan mak..salah satu harga yang perlu dibayar, ketika bekorban menghantar kami setiap hari.

Semasa darjah satu, saya sekelas dengan ida. Mak selalu menghantar kami sampai depan pintu kelas. Ada ketikanya ditunggu  sampai cikgu masuk dan berborak pula dengan cikgu. Kawan-kawan semua dah kenal siapa mak kami. Kadang-kadang saya rasa malu. Mak orang lain tak ada pun hantar mereka sampai ke kelas. Peperiksaan pertengahan tahun, saya periksa nombor satu. Keputusan peperiksaan diumumkan semasa perjumpaan dengan ibu bapa. Mak datang seorang tanpa abah. Saya dan kawan-kawan menanti di meja masing-masing sementara menunggu cikgu berbincang-bincang dan membuat laporan pada ibu bapa yang datang. Selesai giliran mak, dia datang ke meja saya lalu mencium saya. Mak kata saya dapat nombor satu. Saya gembira, tapi saya malu bila mak tiba-tiba mencium saya. Semua orang memandang ke arah kami. Pasti mereka fikir saya anak manja. Saya tidak suka..

Semasa saya darjah 2, mak mengandungkan adik Razi. Saya sudah tentu belum mengerti apa-apa. Yang saya tahu, masuk bulan ke 6, perut mak dah membesar. Mak masih lagi gagah menjahit baju. Itulah sumber rezeki buat membantu abah. Sehingga baju-baju mengandung pun mak jahit sendiri. Saya sangat kagum dengan baju-baju baru mak masa itu. Semuanya cantik dan jahitannya kemas. Semasa hari-hari terakhir usia kandungan, kami selalu meletakkan telinga di perut mak. Kemudian menjerit-jerit suka bila dengar bunyi pergerakan menandakan satu nyawa sedang bergerak aktif dalam kandungan mak. Semakin hari saya lihat mak semakin penat membawa adik. Pada fikiran saya waktu itu hanya tahu mak letih dan kurang tenaga. Kesian mak..pasti lebih berat lagi membawa saya dan ida. Semasa adik bayi, saya dapat  lihat bagaimana mak menumpahkan kasih sayangnya yang banyak buat adik. Mak selalu bergurau, bermain, membelai dan mencium adik berkali-kali. Adakah saya juga pernah dibelai begitu? Owh..saya memang selalu lupa diri. Dulu masa tidak berupaya dan tidak berdaya, bukankah ibu yang sama itu juga yang menumpahkan kasih sayang yang tidak kurang sedikitpun daripada yang saya lihat ketika ini?

Setiap kali terkenangkan dosa dengan mak, selalu saya bawa ingatan dan membina imiginasi tentang pengorbanan mak mengandungkan, melahirkan dan membesarkan 2 nyawa serentak 23 tahun lalu. Lalu terkuburlah emosi ini serta  luruhlah  ego saya. Ingin segera bertaubat dan mohon ampun sebanyak-banyaknya daripada dia.

Semasa saya lulus peperiksaan PTS, mak insan yang paling gembira. Mungkin boleh saya katakan, lebih gembira daripada saya. Selayaknya dia lebih gembira. Bukan kami sahaja yang belajar. Masa-masa kami di rumah selalu dihabiskan dengan belajar bersama mak. Sambil mak menjahit di mesin jahitnya, kami menulis membaca di atas lantai dekat mesin jahit mak.Semasa mak menjahit tangan, dia duduk di sebelah kami. Baju tidak pernah lepas darinya, kami juga tidak pernah terlepas daripada pandangannya. Mak sangat cekap bekerja.

Seingat saya pertama kali kami berjauhan adalah ketika saya menghadiri kem kepimpinan di Padang Rengas, Kuala Kangsar semasa darjah 5. Itupun selama 3 hari, bermula hari Jumaat sampai Ahad. Saya dan Along ke sekolah seperti biasa pagi itu menumpang van Hj Din yang membawa anak-anak dari Taman Desa Aman ke sekolah setiap pagi. Seperti biasa juga kami bersalaman dan saya membawa beg pakaian bersama masuk ke dalam van. Sebelum van Hj.Din bergerak, mak tiba-tiba mencium saya yang sudahpun berada dalam van sambil berpesan jaga diri baik-baik. Saya terkejut dengan tindakan spontan mak. Budak-budak lelaki dalam van tersengih dan tersenyum mengejek. Saya jadi malu lagi. Selama 3 hari di KK, saya rasa rindu pada mak. Barulah saya mengerti dan menghargai erti ciuman mak pada saya tempoh hari.

Ketika peperiksaan UPSR semakin hampir, hampir setiap petang kami berkelah di tanah sekangkang kera sebelah rumah buat mengulangkaji pelajaran. Mak membentangkan tikar, dan kami duduk ramai-ramai di situ. Petang adalah masa riadah. Tetapi oleh kerana UPSR semakin hampir, kami isi dengan menelaah. Ketika itu, kami ulangkaji secara beraktiviti. Mak akan memberikan soalan-soalan kuiz dan kami bersoal-jawab. Tanyalah pada jiran sebelah rumah kami. Dia boleh menjadi saksi kami. Setiap kali jiran kami pulang dari kerja, dia akan menegur kami. Tahun penentuan itu pertama kali dalam hidup saya belajar bersolat hajat. Gurunya sudah tentu mak. Mak akan kejutkan saya dan along 2/3 malam. Kami sama-sama bersolat hajat. Memohon keberkatan usaha dan bertawakkal. Air mata menjadi saksi. Sekali lagi kegembiraan itu datang lagi bila keputusan UPSR diumumkan. Lafaz penuh syukur mak ucapkan tanpa henti. Sampai adik Razi yang masih belum mengerti apa-apa itu pun tersedu-sedu  ikut menangis.

Bermulalah perpisahan saya dan along dengan mak selepas tahun itu. Dia merelakan kami pergi demi sebuah perjuangan menuntut ilmu. Saya mula belajar berjauhan. Tidak saya sangka kejauhan itu semakin lama semakin jauh. Menjauhan saya dengannya. Seandainya saya boleh berfikir sebagai seorang dewasa waktu itu, saya tidak akan rasa malu sedikitpun mak menghantar saya ke kelas. Tidak akan rasa malu pada kawan-kawan bila mak mencium saya di hadapan mereka. Saya dengan rasa bangga memberitahu mereka, saya ada seorang mak yang sangat prihatin, mengambil berat dan yang penting menyayangi saya. Pedulikan senyuman-senyuman mengejek mereka. Pentingkan perasaan yang sedang kami ekspresikan waktu itu.

Ampunkanlah dosa-dosaku..Aku semakin dewasa. Semakin hilang bentuk dan cantiknya corak yang pernah kau coretkan pada serentang kain putih satu masa dahulu. Kekhilafan yang terlalu banyak. Mengecilkan hati, mengguris rasa, malah mungkin juga pernah menitiskan air mata dukamu yang kecewa dengan aku. Ya Allah..ampuni dosa mak..

2 thoughts on “Ampunkan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s