Japan · Omelanku · Tazkirah

Mereka Yang Baik Hati?

Di pagi hari yang dingin, saya mengayuh ke Kadosawa Clinic untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Saya perlu mendapatkan dokumennya hari ini juga. Saya rasa seperti usaha saya ini akan menjadi sia-sia kerana saya sedia maklum, prosedurnya tidaklah semudah yang disangka. Benar telahan saya. Tempatnya bukan di situ. Saya perlu ke Higashi Hiroshima Medical Centre untuk medical check up. Kerana ia sebuah public hospital di Higashi Hiroshima. Lokasinya tidak pernah saya tahu. Terfikir akan saya tentang satu perkara. Ini bermakna, saya perlu mengorbankan sejumlah wang untuk mendapatkan khidmat teksi? Ya..itu sahaja yang terlintas bila keadaan ini mendesak.

Sedang berbincang dengan jururawat di situ, datang seseorang menegur beliau sambil menunjukkan isyarat ‘pulang dulu yea..’ . Entah  dari mana datangnya idea tiba-tiba, jururawat yang baik itu mencadangkan saya supaya menumpang kereta kawannya itu. ‘seseorang’ itu juga terus setuju tanpa banyak bicara, malah gembira dapat menolong.Benarkah?? ya Allah..Engkau benar-benar telah menghantar seseorang untuk membantuku. Saya ucap syukur berkali-kali dalam hati.

Hayakawa san bersembang ramah sepanjang perjalanan. Rupanya beliau pernah menjadi guru Bahasa Jepun kepada ahli keluarga foreign student Hirodai yang menetap di SunSquare. Patutlah menyambut baik orang luar seperti saya. Buka pula cerita mengenai suaminya yang bekerja di MAZDA juga kenalan Malaysia yang juga bekerja di MAZDA.  Terus saya teringatkan senior saya..dan memang betul dia orangnya. Kami juga sebenarnya pernah bertemu semasa majlis makan-makan di shataku senior saya. Ya Allah..apakah ini satu kebetulan?

Saya dihantar sampai ke tempat pendaftaran. Tapi masalah lain pula yang timbul, bilamana saya perlu membuat tempahan dahulu untuk pemeriksaan kesihatan. Saya boleh terus membuat tempahan, tetapi mereka perlukan maklumat lengkap berkenaan pemeriksaan yang hendak saya lakukan. Benar, saya sudah menjangka. Prosedur tidak akan semudah ABC. Perlu datang lagikah?

Saya pulang dengan bas. Sesak nafas berlari-lari mengejar bas yang sedia ada di depan bus stop. Kesal, tidak sempat mengucapkan terima kasih secara proper kepada Hayakawa san. Di tangga bas, kami berpisah dengan senyuman sambil melambai tangan. Kasihan juga pada Hayakawa san yang membantu sehingga ke sini. Saya tidak akan pernah melupakannya. Saya perlu menukar bas di Saijo Eki untuk ke Hirodai. Tergerak hati saya untuk ke Saijo Chuo Hospital untuk bertanya tentang medical check up. Mana tahu prosedur lebih mudah. Turun di hadapan Saijo Kouminkan Mae, menyukarkan saya untuk mencari arah. Hampir 3 orang yang saya rujuk untuk bertanya lokasi hospital. Pakcik menunggang basikal menunggu lampu hijau, makcik tua berjalan dari arah bertentangan, dan seorang posmen yang baru keluar dari sebuah bangunan. Pakcik pertama menunjukkan jalan dan menasihati saya,  ‘jalan baik-baik’….terharu saya dengan nasihat pakcik. Akhirnya sampai juga saya di hadapan bangunan hospital selepas 20 minit menapak. Hati berbunga riang bila jururawat di kaunter pendaftaran berkata ok! Namun, bila saya tunjukkan dokumen berkaitan, hampa semula bila beliau berkata saya perlu menjalankan pemeriksaan di Higashi Hiroshima Medical Centre, sebuah public hospital di bandar ini.

Saya pulang tanpa habuan. Ibarat makan angin, pusing-pusing bandar dan melihat gelagat manusia beraktiviti di pagi hari. Sampai di Hirodai Chuou Guchi, saya berjalan kaki hampir 10 minit berpatah semula ke Kadosawa Clinic, tempat basikal dipakir. Hujan rintik-rintik mula turun.  Seperti tahu duka di hati. Tapi entah kenapa..hari berlalu dengan tenang dan senang sekali. Benarlah..fadhilat zikrullah. Hikmahnya tak nampak di mata tapi rasa di hati.

Walaupun pulang tanpa apa-apa yang diharapkan, saya menemui beberapa orang yang baik hati hari ini. Satu pemandangan dan pengalaman yang mungkin jauh beza dengan negara sendiri. Tiba-tiba saya terfikir..baiknya mereka ini, baik lagi Allah kepada saya. Dialah yang sebenarnya mentaqdirkan pertemuan-pertemuan kami. Mempermudahkan perjalanan pagi ini. Kita minta yang lain, Allah beri yang lain..sebabnya? Dia tahu apa yang terbaik. Yang diberi itu pula, sebenarnya lebih baik daripada apa yang kita minta. Kerana akhirnya, saya mendapat berita, atas tolak ansur pihak foundation, saya boleh menggunakan sijil medical check up bulan 4 lalu, tidak perlu menyediakan yang baru..Allahuakhbar! tentunya berita ini menggembirakan..biarlah walaupun saya telah bersusah-payah untuk hari ini. Akhirnya keputusan yang terbaik datang tanpa disangka.

Hasbunallah wa nimal wakeel , nimal maula wan ni‘man nashiir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s