Cerita Tentang Tetamu

Sejak seminggu yang lalu,rumah saya tidak putus-putus menerima tetamu.Tetamu datang dan pergi.Datangnya pula dari sedekat-dekat jarak (jiran sebelah rumah) sehinggalah kepada orang yang jauh-jauh.Awal-awal lagi saya sudah memenuhkan peti sejuk di bahagian atas dengan ayam daging.Saya suka menjamu tetamu.Sekadar masak yang simple-simple aje asalkan menjamu dan makan bersama.Kalau mak tahu saya masak untuk orang yang datang bertandang ke rumah,mesti mak tak percaya.Tidak dinafikan menerima tetamu itu memenatkan.Cepat-cepat saya usir rasa keluh yang datang =’(  Takut-takut niat dan rasa gembira menerima tetamu menjadi tidak ikhlas.Astaghfirullah~

Satu masa dahulu kira-kira 8 tahun yang lalu (saya di tingkatan 2),pernah saya dah ahli-ahli sebilik sibuk menceriakan dorm kami.Macam-macam hiasan yang kami tampal di dinding mengikut kreativiti kami.Termasuklah satu kata-kata yang mana kata-kata ini adalah hadith daripada Rasulullah SAW yang kami tampal di sebuah almari besar(tempat menyimpan baldi,kasut-kasut,beg balik kampung dsb)yang selalu kami baca setiap kali ahli dorm lain datang bertandang ke dorm kami.Hampir saya terlupa akan kata-kata itu.Sehingga hari ini,apabila saya seperti tidak menang tangan menerima tetamu,saya teringat kembali akan kenangan-kenangan menceriakan dorm di asrama dulu termasuk kata-kata tersebut.Saya tak begitu ingat selengkapnya akan hadith tersebut,lalu saya berusaha men ‘google’ nya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud;

“Wahai manusia,janganlah kamu membenci kehadiran tetamu.Sesungguhnya mereka datang membawa rezeki dan apabila keluar(pulang),membawa dosa ahli rumah tersebut keluar”

Kewajipan melayan tetamu sangat dianjurkan oleh Islam sehinggakan  seorang Muslim yang berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal pada waktu yang sama dia meraikan Aidilfitri(ziarah atas undangan atau menyambut tetamu) dalam keadaan dirinya berpuasa,hendaklah dia meraikan tetamunya terlebih dahulu.Sunat bagi dia berbuka puasa sunat tersebut.Sebagaimana sabda Rasullullah,

“Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat,maka muliakanlah tetamunya”

Ini kerana,tetamu yang datang membawa rezeki kepada tuan rumah.Seperti mana sabda Rasulullah yang tertera di atas.

Sejak kecil lagi,saya sering lihat bagaimana keluarga belah abah melayan tetamu.(Bukanlah saya bermaksud kekurangan keluarga belah mak melayan tetamu.Tapi yang di sebelah sini lebih memberi kesan di hati saya).Saya sangat mengagumi cara opah(panggilan nenek bagi orang di negeri saya) melayan kawan-kawan Kak Yan (sepupu yang tinggal dengan opah) setiap kali mereka bertandang ke rumah Opah.Kak Yan kehilangan ibu sejak dilahirkan, yang dipelihara oleh opah sehingga Kak Yan masuk Universiti.Ketika itu saya masih di sekolah rendah.Satu masa di waktu itu,saya juga teringin sekali mahu membawa kawan-kawan saya pulang ke kampung bertemu opah.Saya sendiri suka menjadi tetamu opah setiap kali pulang ke kampung.Macam-macam makanan,macam-macam yang kami bualkan,macam-macam aktiviti dan macam-macam lagi.Macam-macam ado~~

Semasa di tingkatan 5, Along berpeluang menyertai Kursus Kepimpinan bersama kawan-kawan seExco Asrama yang lain kebetulan bertempat di kampung opah.Kampung saya terletak betul-betul tepi laut,yang mana pembangunan chalet-chalet untuk pelancong dan tempat untuk berkursus dan ber’camping’ begitu pesat di sekitarnya.Satu petang semasa aktiviti riadah,Along bawa 3-4 orang kawan menziarah opah.Biarpun masa sangat terhad,bertemu hanya untuk seketika cuma,mereka sangat menyenangi opah.Sebelum pulang,masing-masing memetik mempelam muda depan rumah opah sebagai buah tangan.Setiap kali pulang bercuti semasa di asrama,mereka tak pernah lupa mengirim salam kepada opah melalui kami.Pernah satu ketika,mak dan abah melawat kami di asrama membawa opah bersama,kami panggil turun sekali tetamu-tetamu yang pernah datang ke rumah opah untuk bertemunya.Mereka semua merindui celotehnya.Saya tahu,opah tak ingat pun  satu-satu wajah di depannya.Tapi opah ingat mereka sebagai tetamu yang pernah menziarahinya.

Ketika belajar di KL,saya berkesempatan menemukan kawan-kawan baik saya dengan opah.Mereka semua berasal dari luar Perak,yang ingin berkunjung melawat tempat-tempat menarik di sini.Kebetulan kampung saya dekat dengan Lumut dan Pulau Pangkor.Saya ingat lagi,macam-macam makanan yang tersedia di atas meja.Ikan-ikan segar dari laut belakang rumah opah digoreng,digulai dan masak sambal.Al-maklumlah,kampung nelayan.Biarpun pertama kali berjumpa,saya lihat dia sangat mesra dengan kawan-kawan saya.Opah seorang yang periang dan suka buat lawak(patutlah abah pun begitu).Menjadikan saya rasa perbualan dan bahasanya sentiasa masuk dengan ‘hanashi’ orang-orang muda.Mereka semua menyenanginya.

Ketika saya pulang bercuti di tanah air selepas setahun di bumi sakura,hampir separuh masa percutian saya dihabiskan di kampung.Sekali lagi saya menemukan opah dengan beberapa orang kawan yang datang bercuti di Pulau Pangkor.Seperti biasa hidangan lazat-lazat di atas meja.Selepas makan,opah duduk berbual-bual dengan salah seorang daripada mereka di luar rumah.Habis diceritanya tentang tanah-tanah milik atuk di seberang jalan besar sana,pokok-pokok kelapa yang dah banyak ditebang dan diganti dengan penanaman pokok pisang pula..haha!saya hendak ketawa mendengar cerita I (bukan nama sebenar).

Tak lama kemudian,datang pula seorang kawan lama(kawan satu sekolah) yang tinggalnya di daerah yang sama dengan kampung saya.Kebetulan saya pulang ke Malaysia,rindu sekali hendak bertemu.Rasanya Hampir 9 tahun terpisah.Biarpun tetamu(yang mana kesemuanya adalah kawan-kawan saya) datang tanpa henti,opah tetap melayan dengan senyuman.Paling mengharukan saya,kali ini opah minta Pakcu(adik abah yang bongsu) mencari ketam di pasar tepi laut dekat baruh.Opah masak gulai ikan dan Pakcu masak ketam bercili.Awal-awal lagi saya dah maklumkan A datang berdua dengan bakal suaminya.Acara makan tengah hari dipenuhi dengan macam-macam cerita diselangi gelak ketawa bila opah mengusik dan bergurau.Selepas makan kami sambung berbual di anjung rumah sambil minum air teh.

Setahun yang lalu,saya membawa pulang seorang kawan Jepun yang bercuti selama 10 hari di Malaysia.Ketika bercuti di KL,saya bawa Shoko singgah di rumah Mak Wan(kakak kepada abah).Selain ingin menziarah Mak Wan sekeluarga dan opah yang berada di KL ketika itu ,sudah tentu tujuan saya ingin memperkenalkan kawan Jepun saya kepada mereka.Selain minum teh,Mak Wan menyediakan macam-macam kuih dan makanan ringan untuk kami.Ditambah pula anak sulungnya ketika itu baru balik makan sate di luar.Hidangan untuk tetamu ditambah pula dengan sate ayam daging,kuah kacang dan nasi himpit.Bahasa Shoko hanya saya seorang sahaja yang faham.Sayalah yang menjadi perantaraan perbualan antara mereka.Biarpun tetamu adalah orang luar,mustahil sekali untuk  berbual dan memeriahkan suasana,sebaliknya yang berlaku.Betapa riuh rendahnya rumah Mak Wan malam itu.Apabila saya asyik bersembang dengan Shoko,Acik (adik kepada abah) selalu membuat kesimpulan sendiri dan menterjemahkan dengan bahasa sendiri kepada yang lain.Macam lah faham..haha! saya hanya ketawa.

Sesuatu yang paling berbekas dalam ingatan saya hingga hari ini,dah tentulah cara opah melayan tetamu.Opah masa mudanya hidup susah,di zaman pemerintahan kekejaman tentera Jepun.Walaupun tidak fasih berbahasa Jepun,masih ada beberapa perkataan yang masih diingatnya hingga hari ini.Oleh itu,dalam kelompok malam itu,selain saya,opah juga turut memeriahkan suasana menyampuk perbualan antara kami,dan yang lain hanya terlopong mendengar.Haha!saya sangat merindui kenangan itu.Opah menyanyikan satu lagu bahasa Jepun yang dihafalnya ketika di zaman pemerintahan Jepun satu masa dulu setelah dipaksa oleh Acik.Saya selalu mendengarnya dahulu ketika opah selalu mendendangkannya untuk kami ketika kami kecil.(tidak pernah pula saya terfikir untuk ke Jepun ketika itu)Kami tekun mendengar dan seorang sepupu saya mengambil rakaman video.Malam itu sangat meriah.Shoko berat hati mahu berpisah dan meninggalkan rumah Mak Wan.Saya lihat opah pun begitu.Mukanya nampak sayu.Selepas bersalaman,dia memeluk Shoko.Mungkin dia terlupa seketika,saya inilah cucunya yang sebenar^^  saya sekali lagi merindui kenangan itu..T-T

Berdasarkan pengalaman-pengalaman di sekitar saya,saya lihat,dengar dan fikir sejak kecil,saya sentiasa berazam untuk jadi tuan rumah yang sentiasa menerima dan menyenangi hati tetamu.Kadangkala saya terlepas pandang,kesemuanya adalah melalui kelemahan diri saya sendiri.Sebagai penutup,saya bawakan sebuah kisah yang pernah saya dengar untuk perkongsian bersama.Moga sama-sama mendapat manfaat.

Satu ketika Nabi Musa AS pernah didatangi oleh seorang lelaki yang bermusafir,meminta kebenarannya untuk bermalam di rumahnya.Oleh kerana lelaki tersebut bukan beragama Islam,Nabi Musa tidak mengizinkan.Lalu keluarlah lelaki itu meneruskan perjalanannya dengan kecewa.Lalu turunlah firman Allah menegur Nabi Musa atas kesalahannya melayan tetamu.Nabi Musa segera mengejar lelaki tersebut,dan mohon maaf.

Allah berfirman,’Wahai Musa,mengapa engkau tidak mengizinkan lelaki itu untuk bermalam di rumahmu?Biarpun bukan seagamamu?Bukankah aku telah menjaga dan melindunginya selama 70 tahun hayatnya?Mengapa engkau tidak mahu menumpangkannya biarpun untuk satu malam?

Nabi Musa menceritakannya kepada lelaki tadi.Maka bertambah hibalah hatinya lalu berkata,

“Wahai Musa,sungguh baik sekali tuhanmu itu.Dia telah menjaga aku selama 70tahun sepanjang hidupku ini.Sedang aku tidak pernah mengetahuinya.Siapakah dia tuhanmu itu Musa?Ceritakanlah lagi kepadaku tentang Dia.Aku tidak akan pulang selagi aku tidak kenal siapa tuhanmu itu”

WallahuA’lam~~

2 Comments

  1. Pingback: Kisah Kami Menerima Kedatangan Tetamu & Bagaimana Kami Mendidik Anak Secara Tidak Langsung | Fadzilah Mamat Dot Com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s