Mencintaiku Kerana Allah

Mereka di sekeliling saya adalah anugerah yang berharga

Setiap kali bertemu, saya jadi gembira

Melihat senyuman sahaja hati jadi suka

Mendengar cerita mereka kadang-kadang tertawa

Berkongsi duka tidak pernah kenal masa

Itukah Ukhwah namanya?

Kita tidak pernah kenal di tanah air sendiri. Entah anak siapa-siapa? Dari mana datangnya? Dia mentaqdirkan pertemuan kita di bumi asing ini. Lalu kita berkenalan dan berkawan. Kita yang sentiasa saling memerlukan.

Mereka tidak pernah tahu tentang saya di tahun terakhir ini. Urusan pengajian saya di tahun terakhir ini. Kegembiraan, kesusahan, kepayahan dan suka duka saya di tahun terakhir ini. Jaraknya amatlah jauh bezanya antara saya dan mereka. Mengapa mereka masih sudi menadah telinga mendengar cerita saya yang tiada harga ini? Itukah ukhwah namanya?

Semoga Allah mencintaimu kerana engkau mencintaiku kerana Allah

w0men

Khairun Nisa'

Leave a comment »

Ibrah Sehelai Daun

Satu pagi, seperti biasa S menunggang basikal untuk ke sekolah. Cuaca pagi itu dingin sekali. Pemandangan sangat cantik. Daun-daun telah bertukar warna. Ada yang kekuningan, kemerahan dan bewarna jingga. S sangat suka menikmati keindahan musim ini. Ia satu anugerah tanda-tanda kebesaranNya. Lukisan terindah.

Di satu padang rumput yang luas dan menghijau, seorang ibu muda sedang memanggil anaknya yang kira-kira 500 meter tertinggal di belakang. Kanak-kanak perempuan itu sangat comel. S sangat suka melihat pakaian musim sejuk yang digayakan oleh kanak-kanak. Mereka seolah-olah model yang menggayakan pakaian orang dewasa tetapi dalam versi junior. Dia masih duduk di atas rumput hijau enggan bergerak walaupun dilaung namanya berkali-kali. Ibu muda keputusan idea. Dia tidak pergi ke arah sang anak dan menarik tangannya. Tiba-tiba dia mengutip sehelai daun kering di kaki. Sambil menunjukkan daun kering di tangannya ke arah sang anak untuk mengambil perhatian, si ibu masih berusaha memanggil. Kanak-kanak yang bergaya dengan baju musim sejuk itu bangun tiba-tiba dan berlari-lari ke arah si ibu. S tidak pasti apakah dia berlari kerana ingin mendapatkan sekeping daun kering di tangan si ibu? Sedangkah ada macam-macam jenis daun kering yang gugur di sekeliling rumput hijau tempat landing nya sebentar tadi.

S meneruskan perjalanan, sambil mata masih tidak lepas memandang kedua anak-beranak itu. Selamat tinggal si ibu dan anak perempuannya. Terima kasih atas situasi yang bagaikan lakonan sebabak sebentar tadi. Teruskanlah perjalanan kalian, moga selamat ke destinasi.

Dalam kepala S ligat membuat kesimpulan. Terfikir-fikir apakah relevannya diperlihatkan lakonan sebabak itu pagi-pagi begini? Sambil menunggang pula..Wahai sang daun kering di kaki si ibu, kamu tidak dipandang orang yang lalu-lalang kerana tiada fungsinya bagi mereka. Kamu hanya sehelai daun yang gugur setelah ditiup angin musim ini. Tapi, tahukah kamu, besarnya jasamu pada si ibu? Kamu juga telah menarik perhatian si anak kecil yang bergaya dengan baju musim sejuk itu. Walaupun asalnya kamu itu tidak menarik perhatian sesiapapun, malah sentiasa ada yang memijakmu.

S terfikir tentang satu lagi pengajaran lebih bermakna. Tentang menarik dan tertarik. Dalam kehidupan ini, setiap orang ada kefahaman yang berbeza-beza. Memilih cara hidup dan haluan yang berbeza-beza. Membuat keputusan yang berbeza-beza. Sedaya upaya kita sentiasa cuba menarik orang-orang di bawah pengaruh kita memilih yang sama dengan pilihan kita, melihat yang sama seperti apa yang kita nampak, berada di bawa bumbung langit yang sama dengan tempat kita tumpang berteduh. Ya, kita sentiasa cuba berusaha meyakinkan dengan apa yang kita yakini. Hakikatnya, apakah mereka itu tertarik dan gembira dengan usaha kita itu? Cara memandang yang berbeza sangat menyukarkan untuk mencapai matlamat. Satu perkara yang difikirkan sangat penting, “KEBIJAKSANAAN”. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Fikirkanlah bersama tentang tujuan, perasaan dan akhirnya cara perlaksanaan.

mereka itu sebenarnya tidak buta, cuma tak nampak

S selamat sampai ke destinasi. Syukur perjalanan pagi ini tidak sia-sia.

Diceritakan semula oleh,

Cik SS (syok sendiri)



sehelai daun

kau yang terpilih

Comments (1) »

Mereka Yang Baik Hati?

Di pagi hari yang dingin, saya mengayuh ke Kadosawa Clinic untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Saya perlu mendapatkan dokumennya hari ini juga. Saya rasa seperti usaha saya ini akan menjadi sia-sia kerana saya sedia maklum, prosedurnya tidaklah semudah yang disangka. Benar telahan saya. Tempatnya bukan di situ. Saya perlu ke Higashi Hiroshima Medical Centre untuk medical check up. Kerana ia sebuah public hospital di Higashi Hiroshima. Lokasinya tidak pernah saya tahu. Terfikir akan saya tentang satu perkara. Ini bermakna, saya perlu mengorbankan sejumlah wang untuk mendapatkan khidmat teksi? Ya..itu sahaja yang terlintas bila keadaan ini mendesak.

Sedang berbincang dengan jururawat di situ, datang seseorang menegur beliau sambil menunjukkan isyarat ‘pulang dulu yea..’ . Entah  dari mana datangnya idea tiba-tiba, jururawat yang baik itu mencadangkan saya supaya menumpang kereta kawannya itu. ’seseorang’ itu juga terus setuju tanpa banyak bicara, malah gembira dapat menolong.Benarkah?? ya Allah..Engkau benar-benar telah menghantar seseorang untuk membantuku. Saya ucap syukur berkali-kali dalam hati.

Hayakawa san bersembang ramah sepanjang perjalanan. Rupanya beliau pernah menjadi guru Bahasa Jepun kepada ahli keluarga foreign student Hirodai yang menetap di SunSquare. Patutlah menyambut baik orang luar seperti saya. Buka pula cerita mengenai suaminya yang bekerja di MAZDA juga kenalan Malaysia yang juga bekerja di MAZDA.  Terus saya teringatkan senior saya..dan memang betul dia orangnya. Kami juga sebenarnya pernah bertemu semasa majlis makan-makan di shataku senior saya. Ya Allah..apakah ini satu kebetulan?

Saya dihantar sampai ke tempat pendaftaran. Tapi masalah lain pula yang timbul, bilamana saya perlu membuat tempahan dahulu untuk pemeriksaan kesihatan. Saya boleh terus membuat tempahan, tetapi mereka perlukan maklumat lengkap berkenaan pemeriksaan yang hendak saya lakukan. Benar, saya sudah menjangka. Prosedur tidak akan semudah ABC. Perlu datang lagikah?

Saya pulang dengan bas. Sesak nafas berlari-lari mengejar bas yang sedia ada di depan bus stop. Kesal, tidak sempat mengucapkan terima kasih secara proper kepada Hayakawa san. Di tangga bas, kami berpisah dengan senyuman sambil melambai tangan. Kasihan juga pada Hayakawa san yang membantu sehingga ke sini. Saya tidak akan pernah melupakannya. Saya perlu menukar bas di Saijo Eki untuk ke Hirodai. Tergerak hati saya untuk ke Saijo Chuo Hospital untuk bertanya tentang medical check up. Mana tahu prosedur lebih mudah. Turun di hadapan Saijo Kouminkan Mae, menyukarkan saya untuk mencari arah. Hampir 3 orang yang saya rujuk untuk bertanya lokasi hospital. Pakcik menunggang basikal menunggu lampu hijau, makcik tua berjalan dari arah bertentangan, dan seorang posmen yang baru keluar dari sebuah bangunan. Pakcik pertama menunjukkan jalan dan menasihati saya,  ‘jalan baik-baik’….terharu saya dengan nasihat pakcik. Akhirnya sampai juga saya di hadapan bangunan hospital selepas 20 minit menapak. Hati berbunga riang bila jururawat di kaunter pendaftaran berkata ok! Namun, bila saya tunjukkan dokumen berkaitan, hampa semula bila beliau berkata saya perlu menjalankan pemeriksaan di Higashi Hiroshima Medical Centre, sebuah public hospital di bandar ini.

Saya pulang tanpa habuan. Ibarat makan angin, pusing-pusing bandar dan melihat gelagat manusia beraktiviti di pagi hari. Sampai di Hirodai Chuou Guchi, saya berjalan kaki hampir 10 minit berpatah semula ke Kadosawa Clinic, tempat basikal dipakir. Hujan rintik-rintik mula turun.  Seperti tahu duka di hati. Tapi entah kenapa..hari berlalu dengan tenang dan senang sekali. Benarlah..fadhilat zikrullah. Hikmahnya tak nampak di mata tapi rasa di hati.

Walaupun pulang tanpa apa-apa yang diharapkan, saya menemui beberapa orang yang baik hati hari ini. Satu pemandangan dan pengalaman yang mungkin jauh beza dengan negara sendiri. Tiba-tiba saya terfikir..baiknya mereka ini, baik lagi Allah kepada saya. Dialah yang sebenarnya mentaqdirkan pertemuan-pertemuan kami. Mempermudahkan perjalanan pagi ini. Kita minta yang lain, Allah beri yang lain..sebabnya? Dia tahu apa yang terbaik. Yang diberi itu pula, sebenarnya lebih baik daripada apa yang kita minta. Kerana akhirnya, saya mendapat berita, atas tolak ansur pihak foundation, saya boleh menggunakan sijil medical check up bulan 4 lalu, tidak perlu menyediakan yang baru..Allahuakhbar! tentunya berita ini menggembirakan..biarlah walaupun saya telah bersusah-payah untuk hari ini. Akhirnya keputusan yang terbaik datang tanpa disangka.

Hasbunallah wa nimal wakeel , nimal maula wan ni‘man nashiir

Leave a comment »

Saat Mata Tak Lagi Melihat

“Siapalah kita untuk rasa down dalam perjuangan ini? Tidak layak sedikitpun jika hendak dibandingkan dengan perjuangan Rasulluah SAW”

Ini adalah di antara sesuatu yang saya pelajari hari ini.Ayat ini bukan kali pertama didengar.Malah sudah selalu diulang sejak saya belajar tentang erti memberi.Sunnah perjuangan itu ada banyak.Jatuh bagun juga perkara biasa.Air mata sudah selalu menjadi teman.Kecewa dan syukur gembira selalu bercampur baur.Mehnah yang tidak akan didapati di mana-mana..tetapi sentiasa dirasai kewujudannya dalam arena perjuangan ini.Jika kita tiada di sini, sampai bila-bila pun kita tidak pernah akan tahu.

“Kita memang telah tahu..Masa depan itu pasti milik Islam.Tinggal diri kita..samada mahu berada di jalan, di mana kita sama-sama membantu untuk kemanangan Islam? atau kita mahu pilih untuk tidak turut serta..Allah SWT tidak perlukan kita sedikitpun untuk membantu agamaNya.Sebaliknya kita yang selalu mengharapkan pada Dia”

 

kaderdakwah

Terkesan saya mendengar kata-kata ini.Sekali lagi diingatkan dalam halaqah entah beberapa minggu yang lalu. Latar belakang saya tidak semuanya ada cerita yang baik.Kadang-kadang selalu tompok-tompok hitam datang melekat di hati. Cuma seingat saya..sejauh mana saya semakin pergi..masih ada sekelumit rasa, saya mesti kembali. Bila saya muhasabah semula, terfikir akan saya..hidayah yang sentiasa Allah beri itu, syukurilah nikmatnya. Sebelum ia hilang, terimalah..Siapalah yang lebih layak memberi, selain daripada Dia?

Benar..perjuangan ini tidak akan lengkap jika kita hanya menumpukan pada kerja-kerja Islam semata. Apa cerita dengan ibadah kita yang lain? Keluarga? Diri? Masa depan? Tanggungjawab? Belajar?  Silap haribulan, jadi fitnah pada Islam itu sendiri. Bab ini kadang-kadang saya jadi sedih untuk fikirkannya. Saya sentiasa mahu jadi yang terbaik untuk semua pecahan-pecahan ini. Semangat yang tenggelam timbul menggusarkan hati. Tuhan tolonglah..bantu aku untuk membantu agamaMu..

Saat mata tidak lagi melihat..

Saat bibir tidak lagi berbicara..

Saat telinga tidak lagi mendengar..

Saat deria tidak lagi merasa..

Saat jiwa tidak lagi di raga..

Saat tubuh membeku..

Saat penyesalan tidak berguna lagi..

Penghujung kita di mana agaknya?

Subhanallah wa Alhamdulillah wa Lailahaillah Allahu Akbar!

Leave a comment »

@-@ Pening!

Masuk kali ini, sudah 2 kali purse saya tertinggal dalam toilet di tingkat 2. Setiap kali masuk toilet, saya akan letakkan barang atas para besi di atas. Kadang-kadang saya teringat untuk ambil. Kadang-kadang terlupa sampai keesokan harinya. Contohnya fail, sarung tangan atau mufler. Paling bahaya jika purse yang tertinggal.

Tapi, negara berhujan emas ini penduduknya jujur dan amanah. Yang tertinggal, tercicir dan hilang, inshaAllah dapat balik.

Ada satu minggu di Bulan September lalu, saya sangat sibuk membuat slide untuk presentation keesokan harinya. Singgah membasuh muka di tandas tingkat 2 selepas pulang makan di café, saya terus letakkan purse merah atas para besi. Kemudian saya kembali ke Lab tanpa apa-apa di tangan. Malam itu saya balik sangat lewat dalam sejarah. Antara pukul 1200-1230 tengah malam. Sampai di rumah, telefon berbunyi menandakan ada sms baru masuk. Rupanya ada beberapa miscalled sebelum itu. Mesej daripada Aoi Chan, kawan satu batch, memberitahu tentang purse saya yang tertinggal di tandas. Owh..syukurnya..dia yang jumpa..baik hati menyimpankannya dahulu untuk saya X-X

Hari ini purse merah tertinggal lagi. Kali ini bukan Aoi yang jumpa. Saya sendiri tidak pasti siapa yang baik hati dan jujur itu. Yang saya tahu, sensei datang ke meja saya dan beritahu, orang pejabat di bangunan kami telefon, minta saya ambil barang tertinggal…Allah..pasti purse merah lagi! Teringat saya tiba-tiba ia tiada dalam simpanan.

Janganlah lupa lagi..hati manusia lain entah siapa yang dapat meneka. Mana tahu, ada yang tidak jujur dan amanah..sampai bila-bila pun purse merah tak akan dijumpai lagi!

Tapi, nampaknya jodoh saya dengan purse merah masih panjang lagi, walaupun ia pernah menghilang beberapa kali~~

Comments (2) »

Aya In Memories

Hujan lebat menghantar perjalanan saya dan Aya ke bus stop Nishi Guchi Hirodai. Setengah jam awal lagi kami sudah mula menapak dalam lebat hujan yang mencurah-curah. Kadang-kadang kami berbual kuat, melawan bunyi derai hujan yang semakin menggila.

Kedatangan Aya atas maksud ziarah. Sebelum beliau mengikut bakal suami ke Indonesia dan menikah di sana. Saya doakan moga perjalanan yang dirancang berjalan lancar. Pulang sebagai isteri seseorang bergelar muslim, moga mudah dibimbing dan menjadi muslimah yang baik. Itulah setinggi-tinggi harapan kami yang menjadi saksi syahadahnya lewat bulan lalu.

Peranan saya tidak banyak kepada membimbing. Mengajarnya solat dan yang berkaitan dengannya. Kami lebih banyak berbual. Dari hati ke hati. Aspek itu lebih dilihat penting.  Benar saya ada pilihan untuk menolak kunjungannya. Tapi dia tetamu istimewa saya. Saya lihatnya sebagai satu peluang dakwah. Dalam kembara saya di bumi sakura ini, Allah telah taqdirkan pertemuan kami di tahun ke-4 ini. Moga kehadiran tetamu ini meneguhkan pendirian, keyakinan dan kepercayaan saya pada agama syumul ini. Membuka mata dan deria saya pada hakikat sebenar cabaran dalam dunia dakwah. Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Membina jambatan dengan saudara baru itu juga tanggungjawab kita. Ikhlaskan hatiku, Ya Allah..

Luahan rasa dan kebimbangannya masih saya ingati. Saya juga rasa gusar. Namun jauh di sudut hati ini..selalu saya berdoa, moga Allah membuka pintu hati, memberikan kemanisan iman dan Islam pada Aya. Moga satu hari nanti pilihan itu bukan kerana dia ingin mengahwini seorang muslim, tapi kerana ingin kembali kepada fitrah.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”  (7:172)



Leave a comment »

Natsu no Omoide

Cuti musim panas yang lalu begitu banyak mencoret catatan kenangan untuk saya. Bermula dengan hari-hari sukar menghadapi INSHI..saya hampir kehilangan matlamat untuk melihat hari depan. Apakah keputusan ini adalah jawapannya? Saya terus memohon petunjuk dari Dia.

Ramadhan datang membawa ketenangan, dan melarikan kerunsingan saya waktu itu. Benarlah, Ramadhan itu di dalamnya penuh keberkatan. Hari yang serba tidak kena jadi lapang dada. Berita gembira itu juga datangnya di bulan Ramadhan. Anugerah di bulan Ramadhan..

Minggu terakhir Ramadhan di tanah air.Menunaikan hak untuk keluarga tercinta. Paling saya ingat, saat-saat untuk bersahur dan berbuka. Saya akan bangun paling awal memanaskan lauk-pauk dan menyediakan meja untuk bersahur. Saya paling suka mengejut seisi rumah bangun bersahur. Mengejutkan adik bongsu yang paling liat bangun bagai satu seksaan rasanya. Bagai lipas kudung bersilat di dapur tatkala waktu berbuka semakin hampir. Saya tidak tahu pula, saudara-saudara kandung di tanah air semuanya sudah ligat bekerja di dapur. Satu permandangan yang tidak pernah ada dalam memori saya sebelum ini. Tapi ada satu perkara yang saya kurang ingin melalukannya ketika diminta. Membancuh kopi!

Aidilfitri di tanah air tahun ini lebih terasa kemeriahannya berbanding tahun lalu. Masa dan peluang yang singkat itu saya gunakan untuk beramah-mesra bersama keluarga yang sudah lama tidak bersua. Setinggi mana kamu terbang, sejauh mana kamu pergi, jangan dilupa pada insan-insan yang pernah mengiringi kamu dengan harapan dan doa..raya tahun ini juga banyak pertemuan dengan anak-anak dan adik-adik saudara yang tak pernah bertemu sejak terbang. Sedar-sedar sudah tegak berdiri, sudah laju berlari, sudah bijak bertutur , sudah beradik, sudah kacak sebagai anak teruna, sudah manis bertudung dan bermacam-macam sudah yang lain. Saya juga..sudah mula merindui Malaysia kembali..

Hari-hari terakhir di Malaysia, berpuasa sunat di bulan Syawal.Bersahur dan berbuka semeja bersama-sama keluarga adalah lukisan terindah. Setiap hari ada juadah sampingan dari pasar malam. Malaysia adalah syurga makanan.. Setiap petang saya akan memesan pada abah. Rojak, Sate dan nasi impit, air tebu, nasi kerabu,  Yong Tau Fu, putu buluh, keow tiow kari, mee hailam, kuah durian dan lain-lain.

Ingatan terhadap Malaysia sekali-sekala akan sentiasa menjenguk pintu hati. Hujan emas di negeri orang ini memang mengasyikkan tetapi tidak akan sama dengan hujan batu di negeri sendiri. Apakah saya akan kembali terus untuk merasai hujan batu buat selamanya sebaik berakhirnya semester ini? atau masihkah berpeluang berhujan emas di negeri orang ini? Keluargaku yang dicintai, maafkan andai aku memilih jalan yang berbeza sedikit daripada apa yang kalian harapkan. Namun, percayalah di mana sahaja jalan yang dilalui, destinasi akhirnya pasti sama dan serupa. Kita jumpa di sana..

jln yg lurus

Comments (2) »

Agar Hidup Lebih Bermakna

Pengisian ini adalah perkongsian daripada mb Nanik daripada program yang dianjurkan oleh KMIH beberapa bulan lalu

AGAR HIDUP LEBIH BERMAKNA

Oleh : Ust. Aam Amiruddin

Beberapa hal yang mesti dilakukan agar hidup lebih bermakna adalah :

1. Milikilah kekuatan cinta

Dalam Al-Qur’an , hanya ada 3 terminologi (pengertian cinta)

a.       Rahmah

QS Ali Imran:8, adalah cinta yang tak berpenghujung, tak terbatas (unlimited). Ini adalah cinta dari Allah swt.

(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.  (3:8)

b.      Mawadah

Adalah cinta yang tidak mengenal batas, ini adalah cinta manusia kepada sesama manusia. Dan ciri utamanya adalah semakin tahu kekurangannya, semakin besar cintanya . Jadi, semakin abstrak siapa pasangan kita kelak semakin kita menyayanginya.

c.       Mahabah

Adalah cinta yang mengalami fluktuatif, kadang-kadang naik, kadang-kadang turun. Cinta yang bisa mengalami kebosanan. Contohnya cinta manusia kepada Allah swt, Rasul saw, sesama makhluk.

2. Milikilah kesungguhan (mujahadah)

Konsekuensi dari cinta adalah mujahadah, kesungguhan untuk mewujudkannya dengan kerja keras, kerja bersungguh-sungguh dan kerja ikhlas.

Tugas manusia adalah berikhtiar, berusaha, mengenai hasilnya kita serahkan pada Allah swt.

3. Milikilah kekuatan doa

QS Al-Baqarah:126

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab Neraka dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali. (2:126)

Dalam setiap kejayaan kita sebenarnya ada untaian dan berkat doa-doa dari orang yang menyayangi kita. Maka do’akanlah anak-anak, keluarga dan saudara-saudara kita.

Agar doa dimakbulkan, ada beberapa perkaral yang boleh dilakukan,

a.       Mulailah berdoa dengan menyebut nama Allah swt (asmaul husna), janganlah berdoa dengan sesuka hati.

b.      Yakinlah bahwa Allah akan mengabulkan doa kita,

c.       Berdoa dengan husnudhzon (berprasangka baik), yakinlah bahwa apa yang diberikan oleh Allah adalah yang terbaik untuk kita

d.      Berdoalah dengan rendah hati dan suara lembut

4.       Milikilah jiwa yang khusyu’

QS Al-Baqarah:45- 46. Sungguh rugi orang yang orientasi hidupnya tidak jelas.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (45) (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya. (46)    (2:45-46)

Ada doa dari Nabi Ibrahim : “Ya Allah, jadikan aku pembicaraan baik setelah sepeninggalanku”

Leave a comment »

Salam Ramadhan

Ramadhan masuk ke pusingan kedua..

Apakah jaringan kita?

Pusingan pertama Ramadhan tahun 1430 Hijrah ini berbeza nikmatnya daripada Ramadhan yang pernah saya lalui sepanjang waktu lalu..Apakah kerana beberapa ujian yang mengocak ketenangan diri sepanjang tahun ini? Menjadikan saya semakin ingin dekat dan memohon pada Dia..rahsia dan hikmah yang hanya Dia mengetahuiNya.Bersangka baiklah..Dia tidak pernah menzalimi.Sedang kita yang selalu menzalimi diri sendiri.

Waktu ini dan tempat ini yang terbaik.Bersendiri juga yang terbaik.. Saya tidak pernah ada azam sebelum masuk ke bulan pernuh mulia ini.Sekadar berazam menghabiskan 30 juzuk Al-Quran dan yang lainnya seperti biasa, solat Terawaikh sepanjang Ramadhan dan Solat Tahajjud waktu bangun bersahur.Namun Ramadhan datang dan berlalu…apakah makna dan erti kedatangannya?Tidak saya rasai nikmatnya.

Alhamdulillah, beberapa hari sebelum Ramadhan, kami bertemu di rumah mb Nanik. Pengisian waktu itu amat bermakna.Ia tentang persediaan menghadapi Ramadhan, amalan afdal dalam bulan Ramadhan dan beberapa perkara lain.Pertemuan lewat malam itu hanya seketika namun penuh barakah, InshaAllah. Jazakillah..syukur hanya pada Allah..

Seminggu Ramadhan berlalu. Mbak Nanik mempelawa ke acara Mabit bersama KMIH berhampiran tempat kami.8 Ramadhan lalu asalnya ada beberapa perkara yang telah dirancang. Bermula dengan perancangan melancong ke pulau Shikoku bersama kawan-kawan lain, lalu saya menarik diri untuk pergi.Kemudian, perancangan seorang teman untuk ke tempat saya, namun di saat akhir pulang ke tanah air.Juga jemputan saya, mempelawa seorang teman dari Tokyo turun, sekadar mengisi kekosongan hati saya.Akhirnya..tidak jadi juga atas kesibukan peribadi.

Namun akhirnya tempat saya 8 Ramadhan lalu ke sebuah perhimpunan penuh makna itu.Benar..Allah tahu tempat terbaik.Dan Dia juga tahu apa yang sangat saya perlukan.Ya..ketika ini..itulah yang saya perlukan.bukan sebuah pakej perlancongan atau menghabiskan masa bersama teman-teman.Apa yang saya perlukan adalah sebuah pengisian..untuk jiwa yang kosong ini.Hampir menitis air mata ketika solat berjemaah di sana. Mendengar imam mengalunankan bacaan ayat suci Al-Quran, hati jadi sebak.Memang saya rindu pada suasana berjemaah di tanah air.Maha suci Allah..Ia adalah di sebuah negara yang jauh dari Islam ini.Suasana itu sama sahaja..Saya juga rindu untuk ke program.Musim panas tahun ini ramai yang pulang ke Malaysia.Maka, tiada program yang dirancang di bumi sakura ini.Biarpun hanya satu malam di sana, beberapa pengisian telah dirancang.Masa yang singkat itu sedikitpun tidak mencacatkan.Malah saya berpuas hati dapat menyerap beberapa perkara penting ketika duduk bersama di salah satu taman daripada taman-taman syurga itu.

Pengisian : Dari tulisan nota saya

Tahap Kesempurnaan puasa

1)  faham batas minimun berpuasa

2) berpuasa mata, tangan, kaki, fikiran, mulut, lisan, dan lain-lain

3) memproduk sebanyak mungkin AMAL SOLEH

7 Amalan di Bulan Ramadhan

1) berpuasa

2) Solat Terawikh, Qiamulail

3) Tadarus Al-Quran

4) Infaq/Sedekah

5) Keutamaan berdoa (2:186)

6) Beriktiqaf di masjid

7) menunaikan umrah

Taqwa

Definisi Taqwa: analogi oleh Ubair Bin Ka’ab menjawab soalan Umar Al-Khatab

Jawapan daripada Ali Abi Thalib

1) Takut kepada Allah

Jika kita takut pada seseorang, kita akan mengelak untuk bertemu dengannya.Takut pada binatang buas, kita akan menjauhinya.Takut kepada Allah? kita pasti akan dekat denganNya.Sedang semakin berani seseorang, semakin tidak takut dia kepada Allah..Nauzubillah..

2) Beramal dari isi Al-Quran

Ada banyak cerita dari Al-Quran..malah kisah cinta para Rasul juga tercatat di dalamnya.Mengapa kita sanggup membaca kisah Ayat-ayat Cinta tulisan manusia yang beratus-ratus halaman itu, tetapi tidak menyelami kisah yang lebih realistik dan sarat pengajaran di dalam Al-Quran? Ramai orang khatam Al-Quran 30 juzuk di bulan Ramadhan.Tapi, tidak ramai yang khatam membaca Al-Quran dan tafsirnya sekali.Marilah menetapkan matlamat..moga dengan usaha itu, nikmat beribadat lebih dirasai.Seolah Allah sedang berbicara dengan kita..Subhanallah..

3)  Siapkan bekalan untuk hari pembalasan

Ramadhan menghitung hari meninggalkan kita..Apakah kita masih lagi akan bertemu dengannya masa akan datang? Tiada siapa yang dapat memberi jaminan. Waktu yang ada ini, persiapkanlah..perhebatkan lagi tangisan di hening malam yang sunyi. Di minggu pertengahan  ini adalah pengampunan dariNya..

salam mubarak

Leave a comment »

Masanya Hampir Tiba

Sudah lama saya tidak menghitung hari untuk menanti kedatangan sesuatu dengan penuh debar. Saya hampir terlupa saat itu. Ketika perasaan bercampur-baur ketika ini, tiada apa yang dapat memberikan ketenangan melainkan hanya kepada Dia sebaik-baik pengharapan.

Jalan ini bukan mudah.Jalan ini penuh liku.Tapi saya tidak pernah menyesal memilih jalan ini.Kerana saya yakin kepada petunjuk hati  yang diberikanNya.Seperti mana Dia yang telah menggerakkan hati saya, lalu membukakan ruangnya.Saya sentiasa ingat ayat 64:11 Moga Allah mengampuni dosa saya jika khilaf dalam mentadabbur ayat-ayatNya.

Sentiasa ada mereka yang mengucapkan “semoga berjaya”..Ucapan ini terlalu biasa.Berzaman dahulu sudah sentiasa diulang-ulang manusia. Namun, percayalah, ucapan itu sangat mahal harganya bagi saya.Doa saya buat mereka yang selalu mendoakan.Moga Allah juga memberikan kejayaan fidunna wal akhirah buat kalian.

Ya Allah, masaku semakin suntuk di sini.Aku ingin terus berada di sini demiMu dan demi mereka.Tapi jika Engkau tidak izinkan, lapangkan dadaku dan tenangkan hatiku menerima percaturanMu.Kerana Engkau Maha Mengetahui.Ujian itu rahsiaMu.Gantikanlah dengan mereka yang sama atau lebih baik daripadaku.Moga bumi sakura ini tidak pernah hilang dengan orang-orang yang sentiasa berjuang untuk agamaMu.Perjuangan kami terlalu kecil Ya Allah..Namun, moga itu Engkau kira sebagai balasan baik di sisiMu.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

As-Saff (61:10-11)

Comments (1) »